Sedang Menerjah
Ibu
Tuesday, January 06, 2015 @ 1:32 AM | 0 Comment [s]

"Ibu, adik nak makan kek warna warni!" 
Ibu tersenyum.
Tanpa banyak bicara, dia mencapai kunci motosikal untuk pergi ke kedai bagi membeli bahan-bahan untuk membuat kek yang aku mahu.
Itulah ibuku.
Dia seorang ibu yang sangat baik. Tidak pernah mengeluh walau sedikitpun.Sentiasa mementingkan keluarganya.
Ibu selalu berulang-alik ke hospital dek kerana dia menghidap penyakit barah usus tahap 3.
Pada waktu itu, aku baru berumur setahun. Masih terlalu kecil untuk memahami penderitaan yang ibu alami.
Sungguhpun begitu, dalam penderitaan ibu menanggung sakitnya, ibu tetap gigih meneruskan kerjanya sebagai seorang akauntan di sebuah bank di bandar.
Setiap pagi, ibu pasti akan mengejutkan aku lalu dia akan memandikanku. Dia akan memakaikanku baju dan memberikanku sarapan.
Sewaktu aku berumur 4 tahun, aku pasti akan menghantar ibuku ke muka pintu setiap kali dia hendak ke tempat kerja. 
Aku akan melambainya sehingga dia hilang dari pandangan.
Pada waktu petang pula, aku akan duduk di muka pintu untuk menanti kepulangan ibuku. 
Begitulah rutinku setiap hari.
Sungguh, aku sangat merindui saat-saat itu.

Pada suatu hari, aku telah memarahi ibuku. 
Disebabkan hal yang kecil, aku meninggikan suara padanya. 
Ibuku menangis.
Aku masih ingat lagi kata-katanya waktu itu.
"Adik, mana adik belajar tinggikan suara ni?"
Andai dapat ku undurkan masa, akan ku melutut di kakinya memohon ampun.

Pada suatu malam, ambulan datang ke rumahku.
Ibu dibawa menaiki ambulan.
Nenek yang menangis turut menemani ibu di dalam ambulan.
Aku yang sudah biasa dengan keadaan ini hanya bermain dengan anak patungku.
Aku hairan. 
Kenapa ayah, nenek, atuk, along menangis? Perlu ke menangis?

Ibu dibawa ke Mahkota Medical Hospital di Melaka.
Kali ini, ibu ditahan lebih lama di hospital.
Aku tidak banyak meluangkan masa untuk ibu kerana aku lebih sibuk bermain.
Setelah beberapa malam ibu di hospital, ibu dipindahkan ke Hospital Putra Batu Pahat.
Ibu sangat kritikal pada waktu itu.
Aku tetap bermain dengan anak patungku.

Sampailah ke suatu petang, semua orang berkumpul di sekeliling katil ibuku.
Ayah, nenek, atuk, along semua ada di situ.
Aku dibiarkan bermain seorang diri.
Aku terberhenti seketika apabila aku terlihat along ditendang oleh ibu yang sedang meronta-ronta.
Along meraung.
Atuk menghalang along untuk mendekati ibu, tapi along degil.
Along menangis sambil memeluk kaki ibu.

Tak lama kemudian, seluruh badan ibu ditutup dengan kain putih.
Aku takut nak dekat dengan ibu. 
Ibuku dibawa pulang dengan ambulan.
Sampai di rumah, ibu diletak di ruang tengah.
Aku pelik.
Kenapa ibu tak berjalan? 
Apabila aku tanya nenek, nenek hanya menangis.
Semua orang memberi reaksi sama.
Aku bingung.

Malam itu, aku tidur seorang diri dengan persoalan yang tidak berjawab.
Keesokan paginya, apabila aku bangun dari tidur, semua mata memandangku dengan penuh sayu. 
Sungguh, aku tidak mengerti.
Bila aku lihat ibu, tubuh ibu sudah berbalut dengan kain putih.
Aku terkejut.
Nenek memandikanku dan memakaikan aku baju kurung.
Selepas itu, nenek menyuruh aku mendekati sekujur tubuh kaku yang amat aku sayangi itu. 
Aku melihat senyuman ibuku yang manis masih terlekat di bibir mulusnya.
Lalu dahi ibu yang dingin dikucupku.
Along disuruh mencium ibu, tetapi dia takut.
Dia menangis tidak mahu.
Aku gelakkan along.
Pada waktu itu, hanya aku seorang sahaja yang ketawa.
Aku pelik.
Orang lain dah tak boleh ketawa ke?

Bila ibu diangkat, aku pelik.
Dimana ibu hendak dibawa?
Ibu dah tak boleh jalan sendiri ke?
Aku hanya memerhati tanpa suara.
Aku dibawa ke tempat yang  mempunyai banyak tiang berwarna putih.
"Eh, kat mana ni?," Aku bertanya.
"Kita dah sampai dekat rumah baru ibu." Ayahku menyahut.
Aku hanya menurut.
Aku tidak berani melihat ibuku ditanam.
Aku takut!

Selepas peristiwa itu, aku tidak pernah berjumpa dengan ibu.
Mana ibu?
Ibu, baliklah! Adik rindu ibu! Adik nak peluk ibu! Adik masih nak makan kek warna warni ibu! Adik nak tengok ibu senyum! Adik nak cerita dekat ibu pasal kawan baru adik!

12 tahun. Sudah 12 tahun peristiwa itu berlaku.
Sekarang, aku sudah faham. 
Rupa-rupanya ibuku pergi berjumpa dengan-Nya.
Sungguhpun sudah lebih sedekad peristiwa ini berlaku, kenanganku bersamanya tidak pernah aku lupa.
Sungguh, dia satu dalam dunia dan tidak pernah dapat diganti.
Ya Allah, terima kasih kerana telah meminjamkan kepadaku seorang insan bernama ibu walaupun cuma sekejap.

Ingatlah kawan-kawan, hilanglah satu rahmat Allah apabila ibu kita meninggal dunia. Satu sahaja pesanan saya, HARGAI, HARGAI dan HARGAILAH ibu kita sementara dia masih di hadapan kita. Kawan-kawan, cerpen ini saya kongsikan bukan sekadar bacaan, tetapi untuk pengajaran dan iktibar untuk semua.

Salam Tulus Ikhlas,

Anak Ibu


P/s : Cerpen ini merupakan kisah  benar yang kawan aku tulis. Sungguh, aku pun sebak masa nak tulis balik cerpen ni kat blog. Aku harap cerpen ni memberi pengajaran buat semua. Al-Fatihah. 

Ya Allah, Kau ampunilah dosa kami. Dan dosa kedua ibu bapa kami. Dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sewaktu kami kecil. Aameen ya Rabb.





Terima Kasih Sudi Luangkan Masa .



Older Post


Assalamualaikum. Tinggalkan jejak anda kat shoutbox.Kalau tak suka sila keluar. Thankz atas masa anda. Saya amat hargai .

Story About